Tuesday 2 September 2014

Alkisah pungguk dan bulan

               Arakian bermulalah kisah di sebuah hutan yang damai, kedengaran hanya bunyi cengkerik dan unggas kedengaran sahut menyahut antara satu sama lain. Di sebatang pokok kelihatan seekor pungguk yang memandang ke awan melihat bulan yang sentiasa di rinduinya. Pungguk begitu cintakan bulan, setiap hari pungguk merasa rindu kepada bulan. Tapi, rindu pungguk semakin menjadi-jadi tatkala bulan tidak bercahaya dan punggok hanya mampu memandang langit nan sepi tanpa sebarang bintang jua bekerdipan di langit.

              Punggok sentiasa berharap bulan akan bersinar kembali, apa yang punggok tidak tahu...bulan sebenarnya sentiasa ada memerhatikan punggok, walaupun dia tidak bercahaya. Pungguk juga tidak tahu bahawa bulan hanya menerima pantulan cahaya daripada sang mentari pada waktu-waktu tertentu. Tatkala bulan tidak memantulkan cahaya sang mentari, dikala pungguk memandang ke langit gelap merindukan sang bulan, bulan tetap memerhatikan punggok di dahan kayu itu secara senyap dan diam, tanpa punggok ketahui. Bulan yang begitu malap tidak disimbahi sebarang cahaya tetap setia memerhatikan pungguk daripada jauh.

                Mengapa pungguk begitu merindui bulan, mengapa bulan tetap setia menyinari pungguk pabila tiba masanya. Pastinya pungguk dan bulan tidak ditakdirkan bersama. Umpama pipit dan enggang yang terpisah dek kerana darjat, begitu juga pungguk dan bulan terpisah dek kerana tidak dari golongan yang sama. Mungkin dirasakan dunia seakan tidak berlaku adil pada mereka, tetapi kurangnya keyakinan pada diri pungguk dan bulan, sentiasa meragui diri masing-masing, menyebabkan itu puncanya hubungan ini tidak dapat diteruskan. 

                Sang pungguk jatuh hati kerana rupa bulan yang begitu bersinar, terang dan tenang di pandang dari kejauhan, walaupun bulan sentiasa berubah rupa...bulan tidak pernah mungkir janji untuk bersinar pada waktu yang dijanjikan.Sesungguhnya soal hati ini begitu sukar dimengerti, bulan sentiasa tertanya -tanya pada diri nya sendiri, jika pungguk melihat aku secara dekat, melihat diriku ini yang tidak secantik apabila berhadapan, adakah pungguk masih akan merinduinya. Sehingga ke hari ini, bulan tidak akan yakin dan tidak pernah berani menunjukkan rupa sebenarnya kepada sang pungguk.

                Manakala pungguk pula tidak yakin untuk terbang tinggi, untuk bertemu dengan bulan yang berada di luar orbit sana. Pungguk sentiasa meragui dirinya, meragui kebolehannya dan merasakan dirinya sentiasa tidak layak untuk bersama bulan.Pungguk merasakan bulan begitu tinggi untuk dicapai, jadi pungguk sendiri tidak pernah mencuba untuk terbang mendekati bulan. Oleh sebab itu, pungguk dan bulan selamanya tidak akan bersama. Mereka hanya saling memandang antara satu sama lain dari kejauhan...sang pungguk memuja sang bulan tatkala ia bersinar, sang bulan memandang sang pungguk kesepian dalam kegelapan, hanya itu yang kisah cinta antara pungguk dan bulan...selamanya tidak akan bersatu, maka tetaplah sang pungguk rindukan bulan .....